Seorang kawan di Malaysia pernah bercerita bagaimana dia pertama kali dididik dengan latihan tentera di Singapura. Pada hari pertama, komandannya memerintahkan semua anak buahnya membawa sebuah kamus. Setelah mereka semua berkumpul dengan sebuah kamus di tangan, sang komandan memerintahkan mereka untuk membuka halaman yang berisi perkataan IMPOSSIBLE. Setelah mereka menemui perkataan tersebut, mereka diminta untuk mencoretnya. Kemudian sang komandan menegaskan bahawa seluruh anggota pasukan harus menyedari bahawa sejak hari itu tidak ada lagi istilah impossible dalam hidup mereka. Tidak boleh ada lagi perkataan tak mungkin.
Untuk sejenak fikiran, saya terangsang untuk membayangkan bahawa mungkin juga seorang perajurit yang nakal akan berkelit dengan kata-kata yang lain: unable (tidak boleh), incapable (tidak mampu), unachievable (tidak boleh diraih), unable to be realized (tidak boleh direalisasikan), ataupun kata-kata lain yang sejenis. Ini adalah cara-cara cerdik untuk menyatakan maksud yang sama tanpa menggunakan kata impossible.
Tetapi tentu sahaja perintah menghapuskan kata impossible pada kisah di atas lebih bersifat simbolik. Ertinya, seseorang diarahkan untuk tidak cepat menyerah dan mengatakan bahawa sesuatu itu tidak mungkin sebelum dia benar-benar mencubanya.
Kerana, bagaimana kita tahu sesuatu itu mungkin atau tidak mungkin sebelum kita mencubanya dengan sungguh-sungguh?
Ternyata, banyak sekali perkataan seperti ini muncul dalam kehidupan seharian kita, padahal kita sama sekali belum mencubanya. Kalau kita masuk ke pasar raya yang menjual barang-barang dengan harga tetap (fixed price) misalnya, kita tidak akan berani untuk menawar harga barang yang kita beli. Mana mungkin (impossible) menawar barang dengan harga tetap semacam itu di sebuah pasar raya? Itu merupakan hal yang sia-sia dan hanya akan memalukan diri. Begitu yang biasanya terlintas di fikiran kita. Banyak lagi contoh kes yang seumpama ini.
Hal yang sama juga pernah – sebenarnya sering – berlaku pada diri penulis. Pernah satu hari, penulis bersama isteri menempuh perjalanan dari Kajang ke Gombak, satu jarak yang jauh. Ketika itu kami memang tinggal di Kajang dan kami memutuskan untuk pergi dengan menggunakan bas ekspres. Agak lama juga menunggu bas itu bertolak. Jumlah penumpang juga tidak terlalu ramai. Harga tiket bas RM2 untuk perjalanan sehala. Tetapi dengan tiket berharga RM4 seorang, kami boleh menggunakan tiket itu seharian, termasuk untuk bas-bas Rapid-KL yang lain di Kuala Lumpur.
Sistem pengangkutan di Kuala Lumpur memang relatif selesa dan menguntungkan bagi para penumpang, kerana mereka boleh membeli tiket yang boleh digunakan seharian, sehingga belanja perjalanan menjadi sangat murah dibandingkan dengan kos perjalanan yang sepatutnya. Semua bas tersebut menggunakan pendingin hawa sebagaimana juga di dalam kereta api. Hanya ada satu masalah dengan pengangkutan bas ini, iaitu kita harus bersabar menunggu bas datang, kerana jumlah bas di KL boleh dikatakan tidak terlalu banyak.
Kami memutuskan untuk membeli tiket yang boleh digunakan seharian. Ketika bas sudah sedia untuk bertolak, pemandu bas menekan butang untuk membuka pintu secara automatik. Para penumpang yang hanya sedikit jumlahnya pun satu persatu menaiki bas. Penumpang-penumpang bas membayar dengan memasukkan wang ke dalam sebuah alat di tepi pemandu atau dengan menempelkan kad elektronik yang boleh diisi semula. Ketika akan membayar, kami memesan tiket berharga RM4 sambil menegaskan bahawa tiket itu boleh digunakan seharian. Pemandu itu membenarkan, tetapi dia juga menawarkan alternatif.
“Tetapi kalau membeli tiket berharga tujuh ringgit seorang, tiket itu boleh digunakan seharian bukan hanya untuk bas, tetapi juga kereta api berlogo Rapid-KL,” dia menerangkan sambil menahan tangannya daripada menekan butang pencetak tiket untuk beberapa waktu.
“Dengan tujuh ringgit boleh digunakan untuk kereta api juga?” saya dan isteri bertanya ragu.
“Ya,” pemandu itu mengangguk, “Jadi, nak beli yang mana?”
Saya masih berasa ragu, apakah tiket berharga RM7 itu benar-benar bermanfaat bagi kami, atau jangan-jangan kami hanya melakukan pembaziran sahaja nanti. Tetapi, isteri saya kelihatannya cenderung untuk membeli tiket berharga RM7 itu.
Untuk beberapa detik kami berbincang dengan suara berbisik, sementara di belakang kami masih ada penumpang yang akan membeli tiket. Akhirnya saya mengambil keputusan cepat.
“nak beli yang empat ringgit sahaja, encik,” ujar saya.
“Tak nak yang tujuh ringgit?” pemandu itu kembali bertanya.
“Tak, yang empat ringgit sahajalah,” tegas saya, walaupun masih ada nada ragu pada suara saya. Sementara pada masa yang sama, isteri saya menarik baju saya dari belakang sebagai tanda kurang bersetuju dengan keputusan saya.
Pemandu itu mengangguk dan menekan butang untuk mencetak dua keping tiket berharga RM4 setiap satu. Saya membayar RM8 dan menerima kedua-dua keping tiket yang hanya berupa lembaran kertas itu. Setelah itu kami bergerak ke bahagian belakang bas untuk mencari tempat duduk.
“Kenapa tidak beli yang berharga tujuh ringgit sahaja?” tanya isteri saya.
“Nampaknya lebih menguntungkan beli yang empat ringgit,” jawab saya sambil terus berfikir apakah saya memang telah mengambil sebuah keputusan yang tepat.
Kami mendapat tempat duduk yang selesa tidak jauh dari pintu tengah bas. “Tiket tujuh ringgit itu jelas lebih menguntungkan,” isteri saya masih protes setelah kami duduk.
“Setelah naik bas, kita masih perlu naik LRT ke Gombak, lalu naik bas. nanti pulang kita naik kenderaan itu lagi.”
“Tetapi kita sudah beli tiket, mana mungkin ditukar lagi,” bantah saya. Kami terdiam untuk beberapa saat.
“Apa salahnya dicuba,” ujar isteri saya lagi, “Pemandu itu kelihatannya baik.”
“Tak mahulah,” jawab saya, “Dia pasti bakal menolak.”
“Bagaimana kalau saya sahaja yang cuba?” isteri saya bertanya ragu-ragu.
“Memangnya kamu berani? nanti kalau ditolak bagaimana?”
Isteri saya terdiam dan tampak ragu-ragu. Tetapi dia masih mengomel sendirian. “Tadi ketika ditawarkan tiket yang tujuh ringgit kenapa tak mahu?”
“Habis, nampaknya tiket tujuh ringgit itu mahal juga dan belum tentu lebih efektif penggunaannya.”
“Jelas lebih murahlah,” protes isteri saya.
Saya tahu itu memang lebih murah, tetapi masalahnya, seberapa jauh perbezaan harganya. Saya fikir, kalau perbezaannya hanya satu atau dua ringgit, tidak terlalu signifikan. Tetapi diam-diam saya menghitung seluruh belanja perjalanan kami hari itu.
Setelah turun dari bas nanti, kami harus naik LRT ke Gombak yang belanjanya sekitar RM3. Setelah itu naik bas dengan tiket berharga RM1 yang boleh digunakan pergi balik. Setelah itu kami akan naik LRT lagi saat pulang dengan belanja sekitar RM3 juga, sebelum akhirnya boleh menggunakan tiket bas ekspres yang sama untuk pulang ke Kajang. Jadi seluruh belanja tambahannya lebih daripada RM6. Itu untuk satu orang, belum ditambah dengan tiket untuk isteri saya. Padahal kalau beli tiket yang berharga RM7 tadi, kami cuma perlu tambah RM3 sahaja seorang.
Wah, kalau begitu saya rugi lah, saya mulai menyesal kerana tadi tidak membeli tiket yang berharga tujuh ringgit.
“Benar juga, ternyata tiket yang tujuh ringgit itu jauh lebih murah,” saya mulai mengakui kesalahan.
“Betul kan, sepatutnya beli tiket yang tujuh ringgit tadi,” isteri saya menimpali.
“Habis bagaimana, sudah terlanjur beli.”
“Cubalah minta ditukar tambah, barangkali pemandunya mahu berikan.”
“Nampaknya macam tak mungkin,” saya masih ragu-ragu, “Apalagi kita sudah berjalan cukup jauh.”
Ketika itu bas memang sudah sampai di daerah Metro Kajang.
“Tadi kenapa tak beli atau tukar dari awal.”
“Ya sudahlah, mahu kata apa lagi,” saya berusaha menghibur diri sendiri, “Anggap saja sebagai pengalaman.
Esok-esok baru kita beli tiket yang tujuh ringgit kalau melakukan perjalanan yang jauh seperti ini.”
Kami pun diam dan memperhatikan penumpang-penumpang yang baru menaiki bas. Fikiran saya mulai menimbang-nimbang pilihan yang ada. Kalau saya maju ke depan dan minta tukar tiket, apa agaknya reaksi si pemandu? Apakah dia akan setuju? Ataukah dia akan marah dan menolak permintaan saya?
Diam-diam saya mulai memberanikan diri untuk mencuba menukar tiket. Kalaupun usaha saya gagal, apa risikonya? Paling-paling saya cuma akan ditolak. Saya tidak bakal mati atau cedera kalau permintaan saya ditolak oleh pemandu kan? Jadi, apa salahnya mencuba?
Maka saya pun memberanikan diri. Ketika bas berhenti agak lama di sebuah lampu isyarat, saya bangkit dari tempat duduk.
“Mahu ke mana?” isteri saya terkejut melihat saya meninggalkan tempat duduk.
“Mahu tukar tiket,” jawab saya singkat sambil terus berjalan ke depan. Saya melangkah agak cepat menuju pemandu, sementara batin saya masih berasa khuatir kalau-kalau permintaan saya ditolak. Saya harus kuatkan diri saya, jangan sampai kelihatan ragu di depan pemandu nantinya. Saya harus yakin diri!
“Encik . . . !” kata saya ketika sudah berada di tepi pemandu, “Boleh tak tukar dengan tiket yang tujuh ringgit.” Saya berkata begitu sambil memperlihatkan dua keping tiket dan wang kertas RM6. Pemandu itu menatap saya selama beberapa saat, sementara saya tersenyum dan memperlihatkan raut wajah meyakinkan pada si pemandu.
Boleh . . . tidak . . . boleh . . . tidak . . . boleh . . . tidak, batin saya bertanya-tanya sementara pemandu yang berkaca mata hitam itu masih memperhatikan saya.
Ayuhlah cepat, kalau tak boleh, ya . . . tak bolehlah! Saya sedia dengan kemungkinan terburuk, tetapi masih memperlihatkan wajah santai dan meyakinkan.
Pemandu itu ternyata menerima permintaan saya. Dia mengambil kedua-dua tiket bersama wang tadi dan mulai menekan butang untuk mencetak dua tiket baru berharga RM7 setiap satu.
Tidak lama kemudian, saya berjalan kembali menuju tempat duduk dengan wajah penuh kemenangan. Alhamdulillah saya berjaya. Isteri saya yang sejak tadi terus memperhatikan terus bertanya ketika saya sudah sampai di tempat duduk.
Berjaya tukar tiketnya? Bagaimana reaksi pemandu? Dia tidak cakap apa-apa? Benar kan yang saya cakap tadi, dicuba dulu, ternyata berjaya kan.
Kami cukup gembira dengan kejayaan kecil yang baru sahaja kami raih. Hal yang paling membuat saya gembira bukan keuntungan material yang telah saya perolehi. Saya fikir saya tidak akan segembira ini sekiranya saya membeli tiket berharga tujuh ringgit itu sejak awal. Kegembiraan itu lebih disebabkan oleh pelajaran penting yang telah kami dapati melalui kejadian itu, iaitu “jangan sekali-kali mengatakan tidak mungkin sampai kamu benar-benar mencubanya.”
Saya telah mencuba dan ternyata berjaya, walaupun pada awalnya saya berasa hal itu mustahil. Tentu sahaja percubaan seperti ini pada waktu-waktu yang lain boleh jadi akan menghadapi penolakan. Tetapi penolakan tentu tidak akan memberi risiko yang terlalu serius pada diri kita. Jadi, apa salahnya kalau kita mencuba?
Sepanjang perjalanan, saya terus-menerus bersyukur. Sekeping tiket yang boleh digunakan untuk menaiki bas dan kereta api bertanda Rapid-KL di Kuala Lumpur selama seharian. Waw, hebat sekali. Kami boleh pergi ke mana pun selama seharian ini. Tiket itu jadi begitu menarik buat saya. Berapa besar subsidi yang diberikan oleh kerajaan untuk itu. Saya sampaikan ingin mendatangi si pemandu lagi dan bertanya kepadanya, “Encik, apakah tiket ini boleh digunakan untuk makan tengah hari secara percuma di kantin kampus saya, UIA?”
Sejak itu, saya terus mengingat-ingat pelajaran yang saya perolehi pada hari itu. Cuba dulu dan jangan katakan tidak mungkin. Begitu juga dengan pembaca. Cubalah, dan jangan terlalu khuatirkan risikonya! Siapa tahu kita akan memperolehi hasil yang tak terduga sebelumnya.
Syed Alwi Alatas
Kuala Lumpur, 3 Desember 2007
No comments:
Post a Comment